Langkah Bagi Hartanah Yang Disewakan Kepada Pelajar


Pelaburan hartanah bukanlah satu perkara yang mudah, kerana ia melibatkan proses yang lama dan panjang yang memakan masa dan memerah tenaga anda. Apakah langkah yang seterusnya setelah anda berjaya membeli rumah anda?

Sekiranya anda bertujuan untuk membuat pelaburan jangka panjang, maka motif utama anda adalah untuk mendapatkan hasil sewaan yang lumayan. Namun begitu, sebagaimana pembelian hartanah, penyelenggaraan hartanah juga bukanlah sesuatu yang mudah.

Sebaik sahaja anda mendapat kunci rumah, anda harus merancang langkah anda yang seterusnya. Buatlah perancangan awal sekiranya boleh!

Langkah 1: Tentukan penyewa sasaran anda

Sebaik sahaja anda membeli hartanah, anda harus menentukan kumpulan penyewa pilihan anda. Bagaimanapun, keputusan anda mestilah berhubung kait dengan lokasi hartanah anda. Sekiranya ada universiti atau kolej yang berhampiran, penyewa sasaran anda mungkin pelajar atau tenaga pengajar. Atau jika terdapat hospital, pusat membeli-belah dan kemudahan lain yang berdekatan, penyewa sasaran boleh jadi individu dewasa yang bekerja.

Bagaimanapun, supaya lebih spesifik lagi, rencana ini akan menumpukan kepada hartanah yang disewakan kepada pelajar.

Terdapat cerita-cerita yang agak teruk di pasaran yang melibatkan penyewaan kepada pelajar, dan cerita-cerita ini umumnya membuatkan tuan rumah berfikir dua kali untuk menyewakan unit mereka kepada pelajar. Jadi, untuk membantu anda membuat keputusan, mari kita lihat pro dan kontra menyewakan unit anda kepada pelajar:

Pro:

Sokongan yang berterusan: Para pelajar hari ini mendapat sokongan yang berterusan daripada ibu bapa mereka. Jadi, sekiranya mereka tidak dapat menjelaskan sewa mereka, ibu bapa mereka akan membantu.

Perkongsian dengan rakan: Menyewakan unit anda kepada pelajar adalah berbeza dengan menyewakannya kepada keluarga, di mana anda boleh menyewakan unit tersebut kepada beberapa pelajar pada masa yang sama. Kebanyakan pelajar lebih suka cara begini kerana ia dapat mengurangkan perbelanjaan mereka, dan membolehkan mereka mendapatkan kadar sewa yang lebih rendah bagi setiap pelajar.

Pembahagian bilik: Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, pelajar tiada masalah untuk berkongsi rumah dengan pelajar lain. Oleh itu, tuan rumah boleh membuat bilik tambahan untuk disewakan dengan meletakkan sekatan dalam bilik di unit tersebut. Bilik tambahan akan memberikan pendapatan tambahan untuk anda!

Pengambilan pelajar baru: Setiap tahun, apabila pelajar telah tamat tempoh sewaannya dan berpindah keluar, pelajar baru akan datang untuk menggantikan tempat mereka. Kerana itu, permintaan bagi hartanah untuk disewa akan sentiasa ada.

Kontra:

Tempoh sewaan: Penyewaan pelajar selalunya melibatkan tempoh yang lebih pendek – untuk beberapa semester atau beberapa tahun sehingga kursus mereka selesai. Oleh itu, tuan rumah terpaksa melalui proses mencari penyewa baru berkali-kali.

Sifat yang tidak matang: Pelajar kadangkala susah untuk ditangani dan dibawa berbincang. Oleh itu, masukkan segalanya dalam kontrak sebelum anda menyewakan unit anda supaya anda dapat mengurangkan perkara-perkara yang merisaukan.

Kerosakan pada unit: Ada kalanya pelajar agak cuai, dan mereka mungkin merosakkan perabot dan unit anda. Bagaimanapun, inilah gunanya deposit yang telah anda ambil, untuk menampung perbelanjaan seumpama ini.

Langkah 2: Menyediakan unit

Oleh kerana anda telah membuat keputusan untuk menyewakan unit anda kepada pelajar, seharusnya ada kolej atau universiti yang berdekatan. Jadi, langkah seterusnya adalah untuk memperlengkapkan unit tersebut.

Apabila menyewakan hartanah kepada pelajar, anda perlu menyediakan unit yang lengkap dengan perabot, atau paling tidak, separa lengkap, kerana kemungkinan besar penyewa anda hanya akan berada di situ dalam tempoh masa yang singkat dan inginkan kos perpindahan yang rendah.

Bagaimanapun, cuba elakkan kelengkapan yang tidak perlu; yang asas sudah mencukupi. Juga tumpukan kepada perabot dengan rekaan yang mengikut trend terkini dan bukannya perabot bina dalam yang mahal, kerana pelajar selalunya lebih mementingkan gaya daripada kualiti.

Cubalah sediakan alatan elektrik asas seperti ketuhar mikro, cerek, induction cooker dan yang seumpamanya, untuk kegunaan harian.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai cara untuk memperlengkapkan hartanah anda untuk disewakan kepada pelajar, bacalah 10 Tip untuk Memperlengkapkan Hartanah Anda Untuk Disewakan kepada Pelajar.

Langkah 3: Menentukan kadar sewa

Setelah anda memperlengkapkan unit anda sewajarnya, cuba tentukan kadar sewa dan bilangan pelajar yang akan tinggal di unit anda. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anda boleh membuat bilik tambahan untuk menempatkan lebih ramai pelajar.

Buat tinjauan dan semak kadar sewa yang dikenakan oleh orang lain. Cuba beri kadar yang rendah sedikit, atau lebih kurang sama dengan yang lain. Tetapi, jangan kenakan kadar yang terlalu tinggi kerana pelajar akan mempunyai banyak pilihan dari segi kadar sewa.

Langkah 4: Sewakan!

Selepas anda melengkapkan unit anda dengan perabot dan menentukan kadar sewa, iklankan unit anda di portal hartanah yang terkemuka seperti PropertyGuru. Pastikan gambar yang dihantar adalah yang berkualiti dan mempunyai resolusi yang tinggi, dan unit dalam gambar mestilah kelihatan terang dan bersih dengan perabot yang elok.

Bila anda menerima tawaran daripada pelajar, rundingkan sebaiknya dan masukkan semua perincian dalam perjanjian penyewaan. Di samping itu, adalah lebih mudah untuk mengendalikan atau mengutip sewa daripada salah seorang penyewa, daripada berhubung dengan semua penyewa.

Bagaimanapun, jika anda merasakan bahawa ia terlalu leceh, anda boleh mengambil ejen hartanah untuk membantu menyewakan unit anda dan mengendalikannya selepas itu. Caj yang dikenakan untuk perkhidmatan sedemikian berbeza mengikut agensi.

Sekiranya anda adalah bakal tuan rumah atau dalam proses ke arah itu, ikuti langkah-langkah yang diberikan di atas untuk melengkapkan dan menyewakan unit anda. Dan sekiranya anda adalah seorang pelajar yang sedang mencari rumah untuk disewa, anda boleh baca 5 Taktik untuk Merundingkan Kadar Sewa yang lebih Rendah.

Credit: Diane Foo Eu Lynn

biliksewamurah #biliksewaKL #biliksewaPutrajaya #biliksewaCyberjaya #biliksewaNilai #biliksewaAmpang #biliksewaBangi #biliksewaKLIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *